Manusia bermusafir di antara dua alam ghaib. Dahulunya manusia berada di alam ruh kemudian berpindah kepada kehidupan dunia dan selepas beberapa waktu akan berpindah ke alam barzakh iaitu alam ghaib sekali lagi. Semua manusia mesti melalui peringkat-peringkat ini tanpa pengecualian.
Alam ghaib
(Manusia belum wujud / TIADA)
|
Alam semesta
(Manusia wujud / ADA)
|
Alam ghaib
(Manusia mati / TIADA)
Sekarang, manusia menjalani kehidupan di muka bumi mengikut giliran semenjak sejarah kewujudan manusia di muka bumi mengikut generasi yang silih berganti. Generasi lampau telah lenyap daripada muka bumi ini. Kini tiba giliran kita semua dan seterusnya bumi ini akan didiami oleh generasi mendatang.
Persoalannya siapakah yang telah menciptakan alam semesta termasuk manusia? Kenapa manusia diciptakan untuk mendiami bumi dalam tempoh tertentu? Apakah tujuan manusia diciptakan? Kenapa manusia mesti mati dan terpaksa keluar daripada kehidupan dunia ini? Kemanakah manusia pergi setelah keluar daripada kehidupan dunia ini? Kenapa manusia mati? Banyak lagi persoalan yang memerlukan jawapan yang benar. Jika manusia sudah mendapat jawapan terhadap persoalan tersebut, apakah bukti yang menunjukkan jawapan-jawapan tersebut adalah benar dan boleh diyakini?
Adakah Allah wujud? Buktikan.
Adakah Islam agama Allah? Buktikan.
Allah menurunkan wahyu al-Quran. Apakah bukti al-Quran daripada Allah?
Adakah al-Quran hari ini adalah sama dengan al-Quran yang diturunkan pada zaman Rasulullah tanpa perubahan? Buktikan.
Rasul adalah utusan Allah dalam kalangan manusia. Apakah bukti Rasul benar-benar utusan Allah?