Wednesday, April 22, 2026

KITAB AL-IMAN (SHAYKH 'ABD AL-MAJID AL-ZINDANI) - MUKADIMAH SIRI 2

Kewajipan utama manusia ialah makrifatullah iaitu mengenali Allah SWT melalui jalan ilmu pengetahuan. Firman Allah SWT dalam Surah Muhammad, ayat 19:

فَٱعْلَمْ أَنَّهُۥ لَآ إِلَـٰهَ إِلَّا ٱللَّهُ وَٱسْتَغْفِرْ لِذَنۢبِكَ وَلِلْمُؤْمِنِينَ وَٱلْمُؤْمِنَـٰتِ ۗ وَٱللَّهُ يَعْلَمُ مُتَقَلَّبَكُمْ وَمَثْوَىٰكُمْ ١٩

Terjemahan: Oleh itu, maka tetapkanlah pengetahuanmu dan keyakinanmu (wahai Muhammad) bahawa sesungguhnya tiada Tuhan yang berhak disembah melainkan Allah, dan mintalah ampun kepadaNya bagi salah silap yang engkau lakukan, dan bagi dosa-dosa orang-orang yang beriman - lelaki dan perempuan; dan (ingatlah), Allah mengetahui akan keadaan gerak-geri kamu (di dunia) dan keadaan penetapan kamu (di akhirat).


Begitu juga wajib mengenali rasul utusan Allah SWT, kebenaran risalahnya melalui jalan ilmu yang mewariskan keyakinan. Firman Allah SWT dalam Surah al-Ra'd, ayat 19:

‏۞ أَفَمَن يَعْلَمُ أَنَّمَآ أُنزِلَ إِلَيْكَ مِن رَّبِّكَ ٱلْحَقُّ كَمَنْ هُوَ أَعْمَىٰٓ ۚ إِنَّمَا يَتَذَكَّرُ أُو۟لُوا۟ ٱلْأَلْبَـٰبِ ١٩

Terjemahan: Maka adakah orang yang mengetahui bahawa Al-Quran yang diturunkan kepadamu dari Tuhanmu itu (wahai Muhammad) perkara yang benar, sama dengan orang yang buta matahatinya? Sesungguhnya orang-orang yang mahu memikirkan hal itu hanyalah orang-orang yang berakal sempurna.


Wajib juga mengetahui tentang hikmah daripada penciptaannya di dunia, mengetahui tempat kembali yang sedang dituju serta mengetahui agama Allah SWT yang dia diperintahkan untuk mengikutinya. 


Mengenal Allah mestilah melalui jalan ilmu yang benar. Ilmu yang benar akan membuahkan keyakinan dalam diri kepada Allah SWT. Manusia hendaklah menyedari bahawa hidayah adalah kurniaan Allah hanya kepada orang yang dikehendaki oleh Allah SWT. Kita hendaklah bersyukur kepada Allah kerana telah mengurniakan hidayah dan terpilih untuk menerima hidayah berbanding manusia yang tidak terpilih untuk dikurniakan hidayah.


Persoalannya, bagaimana kita menterjemahkan kesyukuran kepada Allah SWT? Lihat bagaimana Rasulullah SAW menyatakan rasa syukur baginda. Bukankah Rasulullah telah melakukan solat malam sehingga bengkak kedua kakinya kerana qiyam yang terlalu lama?


Berdasarkan perlakuan baginda, kita perlu memahami bahawa salah satu cara bersyukur ialah melalui solat. Solat mestilah dilakukan dengan khusyuk supaya mendapat ganjaran pahala yang banyak. Bagaimana untuk menjadikan solat dalam keadaan khusyuk?


Di samping memahami bacaan dalam solat, khusyuk juga boleh dicapai dengan menyedari bahawa solat yang dilakukan adalah untuk menunjukkan rasa syukur kepada Allah atas kurniaan hidayah. Dengan kata lain, kita sedang bersyukur melalui perbuatan-perbuatan dalam solat. Apabila kita menyedari bahawa solat yang dilakukan adalah untuk mensyukuri nikmat Allah, maka sepanjang solat, kita akan mengingati Allah SWT dan ini membantu kita untuk mengelakkan daripada hilang fokus semasa solat. Perkara ini memerlukan kesedaran dan usaha berterusan untuk memperbaiki kualiti solat supaya mencapai khusyuk dalam erti kata yang sebenar.

Tuesday, April 21, 2026

KITAB AL-IMAN (SHAYKH 'ABD AL-MAJID AL-ZINDANI) - MUKADIMAH SIRI 1

 بِسْمِ اللهِ الرَّحْمٰنِ الرَّحِيْمِ 

DENGAN NAMA ALLAH YANG MAHA PEMURAH LAGI MAHA PENYAYANG


Segala puji bagi Allah, kita memujaNya, meminta pertolonganNya dan memohon keampunanNya. Kita berlindung daripada Allah terhadap kejahatan-kejahatan diri kita serta keburukan-keburukan amalan kita. Sesiapa yang diberi hidayah oleh Allah, maka tidak akan ada seorang pun yang mampu menyesatkannya dan sesiapa yang Allah sesatkan, maka tiada lagi petunjuk baginya. Saya bersaksi bahawa tiada Tuhan melainkan Allah, Dia sahaja, tiada sekutu bagi Nya, dan saya bersaksi bahawa Muhammad itu hambaNya dan utusanNya.

  1. Hanya Allah yang layak menerima segala pujian kerana Allah adalah Tuhan yang menciptakan segala sesuatu. Allah tempat manusia meminta pertolongan dan mengharapkan keampunan. Manusia hendaklah meminta perlindungan dengan nama Allah daripada keburukan-keburukan hawa nafsu dan kejahatan amalan yang dilakukan dalam kehidupan.
  2. Hidayah adalah milik Allah secara mutlak. Maka, hidayah adalah kurniaan agung diberikan kepada manusia yang layak menerimanya kerana keluasan ilmu Allah terhadap makhluk-Nya. Manakala manusia yang sesat, maka tiada sesiapa pun yang mampu memberikan hidayah kepadanya.

Wednesday, December 27, 2023

SURAH AL-'ALAQ

 بِسْمِ اللهِ الرَّحْمٰنِ الرَّحِيْمِ 

DENGAN NAMA ALLAH YANG MAHA PEMURAH LAGI MAHA PENYAYANG


ٱقۡرَأۡ بِٱسۡمِ رَبِّكَ ٱلَّذِى خَلَقَ (١) خَلَقَ ٱلۡإِنسَـٰنَ مِنۡ عَلَقٍ (٢) ٱقۡرَأۡ وَرَبُّكَ ٱلۡأَكۡرَمُ (٣) ٱلَّذِى عَلَّمَ 
بِٱلۡقَلَمِ (٤) عَلَّمَ ٱلۡإِنسَـٰنَ مَا لَمۡ يَعۡلَمۡ (٥)

Terjemahan: 
Bacalah (wahai Muhammad) dengan nama Tuhanmu yang menciptakan (sekalian makhluk), (1) 
Ia menciptakan manusia dari sebuku darah beku; (2) 
Bacalah, dan Tuhanmu Yang Maha Pemurah, - (3) 
Yang mengajar manusia melalui pena dan tulisan, - (4) 
Ia mengajarkan manusia apa yang tidak diketahuinya. (5)

NAMA SURAH
Surah al-'Alaq (Tafsir Ibn 'Ashur).

KELEBIHAN SURAH
Majoriti ulama tafsir menyatakan bahawa lima ayat pertama adalah ayat-ayat terawal al-Quran yang diturunkan oleh Allah kepada Rasulullah SAW. (Tafsir Ibn 'Ashur, Majmu'ah Fatawa, Tafsir al-Tha'labi).

Daripada Aisyah, isteri Nabi SAW, baginda berkata:  
"Permulaan wahyu yang diterima oleh Rasulullah SAW ialah mimpi yang benar dalam tidur. Baginda tidak bermimpi sesuatu melainkan mimpi itu datang seperti cahaya subuh. Kemudian baginda dijadikan suka kepada kesendirian (beribadah secara bersendirian). Lalu baginda pergi ke Gua Hira’ dan bertehanuth di dalamnya — dan (perawi) berkata: 'Al-Tahannuth bermaksud beribadah' — pada beberapa malam, sebelum baginda kembali kepada keluarganya, dan baginda membawa bekalan untuk itu. Kemudian baginda kembali kepada Khadijah dan mengambil bekalan yang sama. Sehingga datanglah kebenaran (wahyu) kepada baginda ketika baginda berada di Gua Hira’. Lalu datanglah malaikat (Jibril) dan berkata: 'Bacalah!' Maka Rasulullah SAW bersabda: 'Aku tidak boleh membaca.' Baginda bersabda: 'Lalu malaikat itu memegang dan mendakapku sehingga aku merasa sangat kepenatan, kemudian dia melepaskanku dan berkata: "Bacalah!" Aku menjawab: "Aku tidak boleh membaca." Maka dia memegang dan mendakapku untuk kali kedua sehingga aku merasa sangat kepenatan, kemudian dia melepaskanku dan berkata: "Bacalah!" Aku menjawab: "Aku tidak boleh membaca." Lalu dia memegang dan mendakapku untuk kali ketiga sehingga aku merasa sangat kepenatan, kemudian dia melepaskanku dan berkata: "Bacalah dengan nama Tuhanmu yang menciptakan, Yang menciptakan manusia daripada segumpal darah. Bacalah, dan Tuhanmu Maha Pemurah, Yang mengajar dengan pena, mengajarkan manusia apa yang tidak diketahuinya."' (Surah al-Alaq, ayat 1-5)"

(HR al-Bukhari dan Muslim)

KITAB AL-IMAN (SHAYKH 'ABD AL-MAJID AL-ZINDANI) - MUKADIMAH SIRI 2

Kewajipan utama manusia ialah makrifatullah iaitu mengenali Allah SWT melalui jalan ilmu pengetahuan. Firman Allah SWT dalam Surah Muhammad,...