Showing posts with label Dakwah. Show all posts
Showing posts with label Dakwah. Show all posts

Thursday, September 4, 2025

Nasihat dakwah

Dan tidak ada yang lebih baik perkataannya daripada orang yang menyeru kepada (mengesakan dan mematuhi perintah) Allah, serta ia sendiri mengerjakan amal yang soleh, sambil berkata: "Sesungguhnya aku adalah dari orang-orang Islam (yang berserah bulat-bulat kepada Allah)!" 

(Fussilat 41: 33).


Dan (sebaliknya) orang-orang yang menerima petunjuk (ke jalan yang benar), Allah menambahi mereka dengan hidayah petunjuk, serta memberi kepada mereka (dorongan) untuk mereka bertaqwa. 

(Muhammad 47: 17)


Wahai orang-orang yang beriman, kalau kamu membela (ugama) Allah nescaya Allah membela kamu (untuk mencapai kemenangan) dan meneguhkan tapak pendirian kamu. 

(Muhammad 47: 7)


Dan tidaklah Kami mengutus Rasul-rasul sebelummu (wahai Muhammad), melainkan dari kalangan orang-orang lelaki, yang Kami wahyukan kepada mereka. Oleh itu bertanyalah kamu (wahai golongan musyrik) kepada orang-orang yang berpengetahuan ugama jika kamu tidak mengetahui. (al-Nahl 16: 43)


Sesungguhnya orang-orang yang menyembunyikan apa yang telah Kami turunkan dari keterangan-keterangan dan petunjuk hidayah, sesudah Kami menerangkannya kepada manusia di dalam Kitab Suci, mereka itu dilaknat oleh Allah dan dilaknat oleh sekalian makhluk.

Kecuali orang-orang yang bertaubat, dan memperbaiki (amal buruk mereka) serta menerangkan (apa yang mereka sembunyikan); maka orang-orang itu, Aku terima taubat mereka, dan Akulah Yang Maha Penerima taubat, lagi Maha Mengasihani. 

(al-Baqarah 2: 159 -160)

Tuesday, March 5, 2024

Kenapa memilih Islam?

Agama Islam menyatakan bahawa Allah yang Esa adalah Tuhan sekalian alam. Semua selain Allah adalah makhluk ciptaan yang tidak layak dijadikan tuhan yang disembah kerana makhluk mempunyai permulaan yang didahului dengan TIADA.

Islam adalah agama sempurna dan terkini yang diturunkan kepada Nabi Muhammad sebagai nabi terakhir untuk umat akhir zaman.

Kitab suci al-Quran masih kekal dalam bahasa Arab sebagaimana ketika al-Quran diturunkan pada zaman Nabi Muhammad. Semua umat Islam wajib mempelajari kitab suci al-Quran dalam bahasa Arab tersebut. Ayat-ayat suci al-Quran terjaga melalui hafalan dalam dada umat Islam sejak zaman Rasulullah lagi sehingga kini dan selamanya serta tertulis di dalam mashaf dengan kandungan dan susunan ayat dan surah yang sama. Manakala kitab suci yang lain majoriti penganutnya hanya mampu membaca terjemahan sahaja dalam bahasa masing-masing.


Saturday, March 2, 2024

Fikir dan kaji Islam selagi ada peluang hidup

Allah hanya memberikan satu peluang untuk setiap manusia berfikir dan memilih agama sama ada Islam, Kristian atau apa-apa anutan lain selagi mana nyawa dikandung badan.

Penganut agama Islam mempunyai hujah dan bukti kebenaran agama Islam manakala penganut agama lain juga mempunyai pendirian melalui hujah terhadap pilihan agama masing-masing. Kitab al-Quran menegaskan tiada paksaan dalam agama. Bagi kamu agama kamu dan bagi kami agama kami. Pilihan agama adalah hak asasi masing-masing. Tiada masalah. 

Tetapi, jangan berhenti berfikir dan mengkaji agama anutan. Sepatutnya manusia yang menolak Islam perlu bimbang tentang satu perkara. Sekiranya hanya selepas kematian terbukti ajaran Islam benar, maka tiada lagi peluang kedua untuk mengubahnya. Hakikat yang terpaksa diterima ialah diazab dalam neraka selamanya. Alangkah ruginya nasib kerana mensia-siakan peluang mengenali Islam dalam kehidupan dunia yang sementara. Pilihan di dunia adalah penentu nasib di akhirat sama ada mendapat nikmat syurga atau azab neraka yang kekal abadi. Pilihan kita adalah nasib kita. Fikirkan sebelum terlambat.


Monday, February 12, 2024

Kenapa hanya Islam agama yang benar di sisi Allah?

Alhamdulillah, jangan berhenti mengucapkan syukur kepada Allah sekiranya akidah anutan kita adalah Islam kerana Islam adalah satu-satunya agama samawi yang benar di sisi Allah.

Bukankah agama ahli kitab yang lebih awal iaitu Yahudi dan Nasrani juga agama samawi daripada Allah? Bukankan Nabi Musa dan Nabi Isa diutuskan serta diberikan kitab suci iaitu Taurat dan Injil sebagai panduan? Benar sekali hakikat ini tanpa ragu sedikit pun khusus hanya pada zamannya sebelum Nabi Muhammad diutuskan dan kitab al-Quran diturunkan. Kitab al-Quran telah memansuhkan ajaran dalam Taurat dan Injil sekaligus memansuhkan agama ahli kitab anutan Yahudi dan Nasrani kerana al-Quran adalah wahyu terakhir yang paling lengkap, sempurna dan terkini untuk panduan manusia dan jin sehingga ke hari kiamat. 


Thursday, February 1, 2024

Manusia dan sudut pandang berbeza

Ada orang berkata "Tuhan wujud bila kita fikir bahawa Dia wujud dan Tuhan tidak wujud jika kita fikir bahawa Tuhan tidak wujud." Bagi individu ini Tuhan wujud atau tidak bergantung kepada mindset cara fikir kita.

Isu-isu yang berlaku dalam dunia, jika difikirkan maka akal fikiran akan terbeban dengan isu-isu tersebut manakala jika tidak difikirkan maka seolah-olah masalah tersebut tidak menghantui fikiran seseorang. Ada sebahagian manusia yang ingin memikirkan isu-isu tersebut manakala ada sebahagian yang lain memilih untuk tidak memikirkannya. Terserah pilihan masing-masing.

Persoalannya, adakah berfikir lebih baik daripada tidak memikirkannya? Mari kita lanjutkan lagi.


Wednesday, January 31, 2024

Ulama pewaris Nabi

Ulama adalah pewaris ilmu para nabi bersumberkan wahyu al-Quran dan hadis. Kedudukan ulama adalah sangat tinggi kerana ketinggian ilmu wahyu yang dimiliki oleh mereka. Oleh sebab itu, Allah SWT memuliakan para ulama melalui kenyataan dalam al-Quran manakala Rasulullah SAW turut menegaskan perkara tersebut melalui hadis.

Apakah definisi terbaik untuk mengenali ulama yang dimaksudkan dalam al-Quran dan hadis? Siapakah yang layak diiktiraf sebagai ulama?


Thursday, March 3, 2022

Quran hakim mutlak

Alhamdulillah, Allah takdirkan kita terpilih untuk dilahirkan dalam keluarga yang beragama Islam. Nikmat Iman dan Islam yang tersangat bernilai sekiranya kita mengetahui dengan ilmu bahawa syurga atau neraka adalah tempat tinggal kita untuk selamanya tanpa penghujung. 

Allah menurunkan wahyu melalui al-Quran dan hadis sebagai petunjuk mutlak untuk manusia dan semestinya diangkat sebagai rujukan tertinggi dan muktamad oleh semua manusia yang mengaku beriman. Allah Maha Mengetahui bahawa manusia akan sentiasa berselisih pendapat. Oleh sebab itu, wahyu menjadi hakim tertinggi terhadap setiap perselisihan dalam kalangan manusia.

Oleh itu, al-Quran menjadi kata pemutus kepada manusia yang mendakwa dirinya beriman kepada Allah dan hari akhirat dalam segala perselisihan pendapat yang berlaku.

 يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا أَطِيعُوا اللَّهَ وَأَطِيعُوا الرَّسُولَ وَأُولِي الْأَمْرِ مِنكُمْ ۖ فَإِن تَنَازَعْتُمْ فِي شَيْءٍ فَرُدُّوهُ إِلَى اللَّهِ وَالرَّسُولِ إِن كُنتُمْ تُؤْمِنُونَ بِاللَّهِ وَالْيَوْمِ الْآخِرِ ۚ ذَٰلِكَ خَيْرٌ وَأَحْسَنُ تَأْوِيلًا

Wahai orang-orang yang beriman, taatlah kamu kepada Allah dan taatlah kamu kepada Rasulullah dan kepada "Ulil-Amri" (orang-orang yang berkuasa) dari kalangan kamu. Kemudian jika kamu berbantah-bantah (berselisihan) dalam sesuatu perkara, maka hendaklah kamu mengembalikannya kepada (Kitab) Allah (Al-Quran) dan (Sunnah) RasulNya - jika kamu benar beriman kepada Allah dan hari akhirat. Yang demikian adalah lebih baik (bagi kamu), dan lebih elok pula kesudahannya. (Surah al-Nisa'; 59)

Thursday, March 4, 2021

Ilmu dan Amal

Allah SWT mewajibkan kepada umat Islam solat lima waktu sehari semalam. Dalam solat, kita meminta kepada Allah SWT supaya menunjukkan jalan yang lurus(sirat almustaqim). Firman Allah SWT dalam surah Al-Fatihah :"Tunjukkanlah kami jalan yang lurus. (iaitu) jalan orang-orang yang Engkau telah beri nikmat kepada mereka, bukan jalan mereka yang dimurkai(Yahudi) dan bukan pula jalan mereka yang sesat(Kristian)".[Al-Fatihah Ayat 6-7].

Subhanallah! Dalam setiap kali solat, kita diajar supaya membaca ayat-ayat ini yang menunjukkan peri pentingnya hidayah dalam hidup seorang Islam. Apa yang menjadi tanda tanya, mengapakah Allah SWT menyifatkan agama Yahudi adalah jalan yang dimurkai manakala agama Kristian pula adalah jalan yang sesat?!. Bukankah agama Yahudi dan Kristian adalah agama samawi yang disampaikan oleh rasul-rasul yang diberikan kepada mereka kitab-kitab?!. Bukankah agama ini datang daripada Allah SWT?!. Nabi Muhammad SAW bersabda :"...Sesungguhnya mereka yang dimurkai adalah Yahudi, manakala Kristian adalah mereka yang sesat..." [HR Ahmad].

Allah dan Rasul menyatakan demikian dan ia adalah kenyataan yang muktamad bagi sesiapa yang meyakini Quran dan hadith Rasulullah SAW. Sudah pasti di sana ada sebab-sebab tertentu yang menyebabkan Yahudi dan Kristian dilabel sedemikian. Apa yang mereka telah lakukan?

Dalam Quran banyak menceritakan tentang Yahudi. Kitab Taurat banyak menceritakan tentang nabi akhir zaman iaitu Nabi Muhammad SAW. Mereka mempunyai ilmu pengetahuan dan begitu arif secara terperinci tentang sifat-sifat nabi akhir zaman. Setelah Nabi Muhammad SAW dibangkitkan dan baginda bukan daripada bangsa Yahudi sebagaimana yang diharapkan, mereka mendustakan Nabi Muhammad SAW sedangkan mereka tahu tentang baginda secara jelas dalam kitab Taurat. Ringkasnya, Yahudi mempunyai ilmu (tentang Nabi Muhammad SAW) tetapi mereka tidak beramal(dengan mempercayai Nabi Muhammad SAW). Maka jadilah Yahudi sebagai mereka yang dimurkai Allah SWT.

Adapun Kristian, kitab suci mereka adalah kitab Injil. Mengikut sejarah, kitab Injil yang diterima pakai pada hari ini adalah saringan daripada manuskrip yang banyak. Ajaran-ajaran yang bercanggah dalam manuskrip-manuskrip ini telah menyebabkan mereka keliru untuk mengamalkan agama Kristian. Untuk meyelesaikan masalah percanggahan ini, mereka menerima sebahagian ajaran dalam manuskrip tertentu dan menolak sebahagian yang lain. Boleh jadi, ada kebenaran tertentu dalam manuskrip yang mereka tolak dan tidak mustahil ada kesilapan dalam manuskrip yang mereka terima. Kebenaran dan kesilapan bercampur baur dalam kitab yang mereka anggap sebagai suci sehingga beriktikad dengan menganggap Allah itu 3. Ajaran dalam kitab ini menjadi pegangan mereka. Ringkasnya, Kristian beramal (dengan mengikut Kitab Injil) tanpa ilmu(tentang kepastian terhadap kebenaran dan kesilapan tentang ajaran-ajaran yang terdapat dalam Kitab Injil).

Kesimpulannya, ilmu tanpa amal akan menyebabkan kita tergolong dam golongan Yahudi yang dimurkai Allah, manakala amal tanpa berlandaskan ilmu yang sahih akan menyebabkan kita tergolong dalam golongan Kristian yang sesat. Untuk menghindarkan diri kita daripada dimurkai dan dilabel sesat, maka kita hendaklah mempelajari ilmu yang sahih seterusnya beramal dengan apa yang kita yakini. Berilmu kemudian beramal. Inilah hidayah yang kita selalu minta daripada Allah SWT dalam solat-solat kita.

Semoga kita diberikan petunjuk hidayah dalam hidup dengan ilmu yang sahih dan amal yang soleh. Amiin.

Thursday, March 5, 2020

Maksiat-Maksiat dan Tugas Amar Makruf Nahi Munkar

Umat Islam sekarang ini kebanyakannya begitu jauh daripada ajaran Al-Quran dan Sunnah. Maksiat berleluasa secara terang-terangan. Hukum Allah SWT dan Sunnah Rasul-Nya dipinggirkan. Jika ada golongan yang mengajak kepada hukum Allah SWT, mereka akan memberikan pelbagai alasan supaya ianya tidak dapat dilaksanakan dan lebih malang lagi hukum-hukum Allah SWT dianggap zalim dan tidak sesuai lagi di zaman ini. Sedangkan jika mereka mengaku beriman kepada Al-Quran, bukankah Allah SWT menyatakan dalam firman-Nya:

[5.44] dan sesiapa yang tidak menghukum dengan apa yang telah diturunkan oleh Allah (kerana mengingkarinya), maka mereka itulah orang-orang kafir.
[5.45]; dan sesiapa yang tidak menghukum dengan apa yang telah diturunkan Allah, maka mereka itulah orang-orang yang zalim.
[5.47] dan sesiapa yang tidak menghukum dengan apa yang telah diturunkan oleh Allah, maka mereka itulah orang-orang yang fasik.
[4.65] Maka demi Tuhanmu (wahai Muhammad)! Mereka tidak disifatkan beriman sehingga mereka menjadikan engkau hakim dalam mana-mana perselisihan yang timbul di antara mereka, kemudian mereka pula tidak merasa di hati mereka sesuatu keberatan dari apa yang telah engkau hukumkan, dan mereka menerima keputusan itu dengan sepenuhnya.
[5.49] Dan hendaklah engkau menjalankan hukum di antara mereka dengan apa yang telah diturunkan oleh Allah dan janganlah engkau menurut kehendak hawa nafsu mereka, dan berjaga-jagalah supaya mereka tidak memesongkanmu dari sesuatu hukum yang telah diturunkan oleh Allah kepadamu. Kemudian jika mereka berpaling (enggan menerima hukum Allah itu), maka ketahuilah, hanyasanya Allah mahu menyeksa mereka dengan sebab setengah dari dosa-dosa mereka; dan sesungguhnya kebanyakan dari umat manusia itu adalah orang-orang yang fasik.

Kes-kes zina dan liwat yang begitu banyak berlaku. Dimanakah umat Islam dengan firman Allah SWT:
[24.2] Perempuan yang berzina dan lelaki yang berzina, hendaklah kamu sebat tiap-tiap seorang dari keduanya seratus kali sebat; dan janganlah kamu dipengaruhi oleh perasaan belas kasihan terhadap keduanya dalam menjalankan hukum ugama Allah, jika benar kamu beriman kepada Allah dan hari akhirat; dan hendaklah disaksikan hukuman seksa yang dikenakan kepada mereka itu oleh sekumpulan dari orang-orang yang beriman.

Arak, judi, rasuah, pembunuhan, pecah amanah, kezaliman dan pelbagai jenis maksiat dapat dilihat dalam masyarakat Islam hari ini. Adakah mereka tidak membaca firman Allah SWT:
[5.90] Wahai orang-orang yang beriman! Bahawa sesungguhnya arak, dan judi, dan pemujaan berhala, dan mengundi nasib dengan batang-batang anak panah, adalah (semuanya) kotor (keji) dari perbuatan Syaitan. Oleh itu hendaklah kamu menjauhinya supaya kamu berjaya.
[2.278] Wahai orang-orang yang beriman! Bertaqwalah kamu kepada Allah dan tinggalkanlah (jangan menuntut lagi) saki baki riba (yang masih ada pada orang yang berhutang) itu, jika benar kamu orang- orang yang beriman.
[2.279] Oleh itu, kalau kamu tidak juga melakukan (perintah mengenai larangan riba itu), maka ketahuilah kamu: akan adanya peperangan dari Allah dan RasulNya, (akibatnya kamu tidak menemui selamat). Dan jika kamu bertaubat, maka hak kamu (yang sebenarnya) ialah pokok asal harta kamu. (Dengan yang demikian) kamu tidak berlaku zalim kepada sesiapa, dan kamu juga tidak dizalimi oleh sesiapa.
[2.179] Dan di dalam hukuman Qisas itu ada jaminan hidup bagi kamu, wahai orang-orang yang berakal fikiran, supaya kamu bertaqwa.
[5.38] Dan orang lelaki yang mencuri dan orang perempuan yang mencuri maka (hukumnya) potonglah tangan mereka sebagai satu balasan dengan sebab apa yang mereka telah usahakan, (juga sebagai) suatu hukuman pencegah dari Allah. Dan (ingatlah) Allah Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana.
[5.8] Wahai orang-orang yang beriman, hendaklah kamu semua sentiasa menjadi orang-orang yang menegakkan keadilan kerana Allah, lagi menerangkan kebenaran; dan jangan sekali-kali kebencian kamu terhadap sesuatu kaum itu mendorong kamu kepada tidak melakukan keadilan. Hendaklah kamu berlaku adil (kepada sesiapa jua) kerana sikap adil itu lebih hampir kepada taqwa. Dan bertaqwalah kepada Allah, sesungguhnya Allah Maha Mengetahui dengan mendalam akan apa yang kamu lakukan.

Ini adalah sebahagian daripada perintah Allah SWT kepada orang yang mengaku beriman. Bandingkan keadaan masyarakah Islam pada hari ini dengan ayat-ayat Al-Quran di atas. Betapa jauhnya umat Islam daripada ajaran agama mereka sendiri.

Dimanakah para ulama, pendakwah, pelajar-pelajar agama dan orang-orang yang cemburu terhadap ajaran Islam? Tugas siapakah untuk mengembalikan umat Islam kepada ajaran Islam?
Tidak ada kebaikan bagi kita, jika sekiranya kita tidak melakukan tugas menyeru kepada kebaikan dan mencegah kemungkaran yang merupakan tanggungjawab utama kepada para ulama. Wahai ulama Islam! Dimanakah kamu semua? Kenapa masih lagi bertelingkah di dalam perkara cabang yang merupakan masalah ijtihad?

Kita mempunyai perkara-perkara yang telah menjadi persepakatan dalam agama Islam. Kenapa kita tidak mahu bersatu dalam menjelaskan perkara-perkara yang menjadi persepakatan dalam Islam? Adakah perkara-perkara yang telah disebut tadi bukan maksiat yang mesti ditegah? Apakah kesan daripada meninggalkan amar maaruf nahi munkar?

Mari kita perhatikan dengan penuh insaf firman Allah SWT dalam Al-Quran dan sabda Rasulullah SAW:
[5.78] Orang-orang kafir Yahudi dari Bani Israil telah dilaknat (di dalam Kitab-kitab Zabur dan Injil) melalui lidah Nabi Daud dan Nabi Isa ibni Maryam. Yang demikian itu disebabkan mereka menderhaka dan selalu menceroboh.
[5.79] Mereka sentiasa tidak berlarang-larangan (sesama sendiri) dari perbuatan mungkar (derhaka dan ceroboh), yang mereka lakukan. Demi sesungguhnya amatlah buruknya apa yang mereka telah lakukan.

Daripada Huzaifah bin Alyaman daripada Nabi SAW bersabda: demi yang diriku di tangan-Nya, hendaklah kamu menyuruh kepada kebaikan dan mencegah kemungkaran atau pun hampir-hampir Allah ingin mengutuskan ke atas kamu balasan hukuman daripada-Nya, kemudian kamu berdoa kepada-Nya lalu tidak diterima bagi kamu. ( HR Tirmizi No: 2169 ) Berkata Tirmizi: Hadis ini Hasan.

Thursday, February 28, 2019

Ulama dan Tugas Menyampaikan Ilmu

Ulama adalah pewaris para Nabi. Warisan para Nabi adalah ilmu pengetahuan. Maka, tugas para Nabi adalah tugas para ulama. Firman Allah SWT:


[3.187] Dan (ingatlah) ketika Allah mengambil perjanjian setia dari orang-orang yang telah diberikan Kitab (iaitu): "Demi sesungguhnya! Hendaklah kamu menerangkan isi Kitab itu kepada umat manusia, dan jangan sekali-kali kamu menyembunyikannya".

Allah SWT telah mengambil perjanjian daripada ahli kitab supaya menyampaikan ilmu dan jangan menyembunyikannya. Bukankah kita umat Islam telah diberikan kitab Al-Quran yang mana orang yang mengetahui tentang Al-Quran ialah golongan ulama? Perjanjian ini adalah di antara Allah dan ulama. Sungguh pun begitu, orang Islam yang bukan ulama jangan berasa senang hati, adakah kita telah mengikut ajaran Al-Quran dan Sunnah yang disampaikan oleh para ulama? Sesungguhnya tiada siapa yang akan terlepas kerana Allah SWT pasti akan mempersoalkan janji-Nya. Firman Allah SWT:

[28.65] Dan pada hari (kiamat itu) Allah menyeru mereka lalu bertanya: "Apa jawab kamu kepada Rasul-rasul yang diutus kepada kamu dahulu?

Apakah jawapan kita? Terserah kepada diri masing-masing. Apa yang penting, marilah kita bersatu dalam menyampaikan dakwah Islam sebagaimana firman Allah SWT:

[5.2] Dan hendaklah kamu bertolong-tolongan untuk membuat kebajikan dan bertaqwa, dan janganlah kamu bertolong-tolongan pada melakukan dosa (maksiat) dan pencerobohan. Dan bertaqwalah kepada Allah, kerana sesungguhnya Allah Maha Berat azab seksaNya (bagi sesiapa yang melanggar perintahNya).

[57.16] Belum sampaikah lagi masanya bagi orang-orang yang beriman, untuk khusyuk hati mereka mematuhi peringatan dan pengajaran Allah serta mematuhi kebenaran (Al-Quran) yang diturunkan (kepada mereka)? Dan janganlah pula mereka menjadi seperti orang-orang yang telah diberikan Kitab sebelum mereka, setelah orang-orang itu melalui masa yang lanjut maka hati mereka menjadi keras, dan banyak di antaranya orang-orang yang fasik - derhaka.

Adakah masih belum sampai lagi wahai umat Islam? Ingatlah masa terus berjalan, bila-bila masa sahaja kita akan menemui Allah SWT. Ya Allah Ya Tuhanku! Berikanlah hidayah kepada kaumku, sesungguhnya mereka tidak mengetahui…

Wednesday, February 28, 2018

Memikul Tanggungjawab Dakwah Untuk Mencari Keredhaan Allah

Allah menciptakan kematian dan kehidupan untuk menguji manusia siapakah di kalangan mereka orang yang paling baik amalannya. Orang yang berakal sentiasa memikirkan apakah amalan yang paling diredhai Allah jika dia melakukannya akan mendapat ganjaran yang besar di sisi Allah dengan menggunakan peluang yang ada dalam kehidupan yang begitu singkat ini. Oleh demikian itu, kita akan dapat melihat dalam kehidupan ini, manusia berlumba-lumba untuk melakukan kebaikan.

Contoh terbaik adalah para nabi dan rasul. Mereka sanggup menanggung segala keperitan dalam dakwah untuk memastikan manusia akan selamat di dunia dan akhirat. Nabi Muhammad SAW dalam kehidupan dakwah baginda, banyak melalui saat getir ini pada permulaan dakwah dan setelah berlalu 23 tahun, hasilnya dapat dilihat dengan wujudnya satu masyarakat yang unggul dan gemilang pada zamannya.

Tugas ini disambung oleh para sahabat dan generasi-generasi yang datang selepas mereka sehinggalah Islam sampai kepada kita hari ini. Tanpa usaha dakwah mereka, kita mungkin tidak berpeluang untuk mengenali agama Islam yang merupakan satu-satunya agama yang diredhai oleh Allah SWT.

Ada segolongan manusia yang menerima dakwah ini dan sebahagian besar menolak. Tugas pendakwah hanyalah menyampaikan dakwah dengan berhikmah dan hujah yang nyata. Penerimaan manusia adalah tertakluk kepada hidayah Allah SWT.

Oleh kerana ramai yang menolak dakwah ini dengan kekerasan, maka para pendakwah terpaksa menggunakan kekerasan untuk mengahapuskan halangan untuk membolehkan dakwah Islam sampai kepada manusia.

Sehingga sampai satu tahap, mereka terpaksa mengorbankan diri sendiri demi menyampaikan Islam yang akan menyelamatkan manusia di dunia dan akhirat. Orang Islam diajar supaya menyayangi orang lain sebagaimana mereka menyayangi diri sendiri. Ia adalah kesempurnaan iman sebagaimana disabdakan oleh Nabi Muhammad SAW.

Inilah ajaran Islam. Pendakwah sanggup menanggung tugas dakwah ini demi kesejahteraan manusia. Marilah sama-sama kita sampaikan dakwah Islam kepada manusia supaya kita tergolong dalam golongan yang diredhai Allah. Ya Allah! Berikanlah kekuatan kepada kami untuk istiqamah dalam tugas ini. Ameen.

Saturday, July 31, 2010

Allah mengajar manusia melalui pena [al-Qalam]

Allah SWT berfirman;


بِسْمِ اللَّهِ الرَّحْمَٰنِ الرَّحِيمِ

اقْرَأْ بِاسْمِ رَبِّكَ الَّذِي خَلَقَ ‎﴿١﴾‏ خَلَقَ الْإِنسَانَ مِنْ عَلَقٍ ‎﴿٢﴾‏ اقْرَأْ وَرَبُّكَ الْأَكْرَمُ ‎﴿٣﴾‏ الَّذِي عَلَّمَ بِالْقَلَمِ ‎﴿٤﴾‏ عَلَّمَ الْإِنسَانَ مَا لَمْ يَعْلَمْ ‎﴿٥﴾‏

Bacalah (wahai Muhammad) dengan nama Tuhanmu yang menciptakan (sekalian makhluk), (1) Dia menciptakan manusia daripada sebuku darah beku; (2) Bacalah, dan Tuhanmu Yang Maha Pemurah, - (3) Yang mengajar manusia melalui pena dan tulisan, - (4) Dia mengajarkan manusia apa yang tidak diketahuinya.


Ayuh! berusahalah untuk keluar daripada belenggu kejahilan... 


Analisis Laman Web Berautoriti dalam Kajian Astronomi

Latar Teori Ringkas Kajian astronomi kontemporari tidak lagi terbatas pada balai cerap dan jurnal bercetak, tetapi semakin bergantung pada r...