Thursday, March 4, 2021

Ilmu dan Amal

Allah SWT mewajibkan kepada umat Islam solat lima waktu sehari semalam. Dalam solat, kita meminta kepada Allah SWT supaya menunjukkan jalan yang lurus(sirat almustaqim). Firman Allah SWT dalam surah Al-Fatihah :"Tunjukkanlah kami jalan yang lurus. (iaitu) jalan orang-orang yang Engkau telah beri nikmat kepada mereka, bukan jalan mereka yang dimurkai(Yahudi) dan bukan pula jalan mereka yang sesat(Kristian)".[Al-Fatihah Ayat 6-7].

Subhanallah! Dalam setiap kali solat, kita diajar supaya membaca ayat-ayat ini yang menunjukkan peri pentingnya hidayah dalam hidup seorang Islam. Apa yang menjadi tanda tanya, mengapakah Allah SWT menyifatkan agama Yahudi adalah jalan yang dimurkai manakala agama Kristian pula adalah jalan yang sesat?!. Bukankah agama Yahudi dan Kristian adalah agama samawi yang disampaikan oleh rasul-rasul yang diberikan kepada mereka kitab-kitab?!. Bukankah agama ini datang daripada Allah SWT?!. Nabi Muhammad SAW bersabda :"...Sesungguhnya mereka yang dimurkai adalah Yahudi, manakala Kristian adalah mereka yang sesat..." [HR Ahmad].

Allah dan Rasul menyatakan demikian dan ia adalah kenyataan yang muktamad bagi sesiapa yang meyakini Quran dan hadith Rasulullah SAW. Sudah pasti di sana ada sebab-sebab tertentu yang menyebabkan Yahudi dan Kristian dilabel sedemikian. Apa yang mereka telah lakukan?

Dalam Quran banyak menceritakan tentang Yahudi. Kitab Taurat banyak menceritakan tentang nabi akhir zaman iaitu Nabi Muhammad SAW. Mereka mempunyai ilmu pengetahuan dan begitu arif secara terperinci tentang sifat-sifat nabi akhir zaman. Setelah Nabi Muhammad SAW dibangkitkan dan baginda bukan daripada bangsa Yahudi sebagaimana yang diharapkan, mereka mendustakan Nabi Muhammad SAW sedangkan mereka tahu tentang baginda secara jelas dalam kitab Taurat. Ringkasnya, Yahudi mempunyai ilmu (tentang Nabi Muhammad SAW) tetapi mereka tidak beramal(dengan mempercayai Nabi Muhammad SAW). Maka jadilah Yahudi sebagai mereka yang dimurkai Allah SWT.

Adapun Kristian, kitab suci mereka adalah kitab Injil. Mengikut sejarah, kitab Injil yang diterima pakai pada hari ini adalah saringan daripada manuskrip yang banyak. Ajaran-ajaran yang bercanggah dalam manuskrip-manuskrip ini telah menyebabkan mereka keliru untuk mengamalkan agama Kristian. Untuk meyelesaikan masalah percanggahan ini, mereka menerima sebahagian ajaran dalam manuskrip tertentu dan menolak sebahagian yang lain. Boleh jadi, ada kebenaran tertentu dalam manuskrip yang mereka tolak dan tidak mustahil ada kesilapan dalam manuskrip yang mereka terima. Kebenaran dan kesilapan bercampur baur dalam kitab yang mereka anggap sebagai suci sehingga beriktikad dengan menganggap Allah itu 3. Ajaran dalam kitab ini menjadi pegangan mereka. Ringkasnya, Kristian beramal (dengan mengikut Kitab Injil) tanpa ilmu(tentang kepastian terhadap kebenaran dan kesilapan tentang ajaran-ajaran yang terdapat dalam Kitab Injil).

Kesimpulannya, ilmu tanpa amal akan menyebabkan kita tergolong dam golongan Yahudi yang dimurkai Allah, manakala amal tanpa berlandaskan ilmu yang sahih akan menyebabkan kita tergolong dalam golongan Kristian yang sesat. Untuk menghindarkan diri kita daripada dimurkai dan dilabel sesat, maka kita hendaklah mempelajari ilmu yang sahih seterusnya beramal dengan apa yang kita yakini. Berilmu kemudian beramal. Inilah hidayah yang kita selalu minta daripada Allah SWT dalam solat-solat kita.

Semoga kita diberikan petunjuk hidayah dalam hidup dengan ilmu yang sahih dan amal yang soleh. Amiin.

No comments:

Post a Comment

قَنْطوراءُ

قَنْطوراءُ: جاءَ في الحَديثِ:  ((فإذا كانَ في آخِرِ الزَّمانِ جاءَ بَنو قَنْطوراءَ عِراضَ الوُجوهِ، صِغارَ الأعْيُنِ، حتَّى يَنزِلوا على شَط...