Sunday, March 31, 2024

Rukun Islam

 Rukun Islam lima perkara:

1. Mengucap dua kalimah syahadah.

2. Menunaikan solat lima waktu.

3. Membayar zakat.

4. Berpuasa pada bulan Ramadhan.

5. Menunaikan haji di Baitullah.


Rukun Iman ada enam perkara:

1. Beriman kepada Allah.

2. Beriman kepada Malaikat.

3. Beriman kepada Kitab-Kitab Suci.

4. Beriman kepada Rasul-Rasul

5. Beriman kepada Hari Kiamat.

6. Beriman kepada Qada' dan Qadar.


Monday, March 18, 2024

Tindak-tanduk orang kafir membuktikan al-Quran adalah benar

Orang kafir sedang melakukan ciri-ciri orang kafir yang telah disebut dalam al-Quran lebih awal. Antara yang didedahkan oleh al-Quran ialah bagaimana sifat orang kafir terhadap orang Islam ialah; melakukan perkara-perkara yang menyakitkan hati orang Islam:


۞ لَتُبْلَوُنَّ فِي أَمْوَالِكُمْ وَأَنفُسِكُمْ وَلَتَسْمَعُنَّ مِنَ الَّذِينَ أُوتُوا الْكِتَابَ مِن قَبْلِكُمْ وَمِنَ الَّذِينَ أَشْرَكُوا أَذًى كَثِيرًا ۚ وَإِن تَصْبِرُوا وَتَتَّقُوا فَإِنَّ ذَٰلِكَ مِنْ عَزْمِ الْأُمُورِ ‎﴿١٨٦﴾‏

Demi sesungguhnya, kamu akan diuji pada harta benda dan diri kamu. Dan demi sesungguhnya, kamu akan mendengar dari orang-orang yang telah diberikan Kitab dahulu daripada kamu dan orang-orang yang musyrik: banyak (tuduhan-tuduhan dan cacian) yang menyakitkan hati. Dalam pada itu, jika kamu bersabar dan bertaqwa maka sesungguhnya yang demikian itu adalah dari perkara-perkara yang dikehendaki diambil berat (melakukannya). (186)


Sunday, March 17, 2024

MUKMIN YANG BERTAKWA

Definisi al-Quran

Al-Quran ialah kalamullah yang mengandungi mukjizat, diturun kan kepada Nabi Muhammad SAW melalui per antaraan Jibril a.s., ditulis dalam mashaf, dipindahkan kepada kita secara mutawatir dan menjadi ibadat dengan membacanya bermula dengan Surah al-Fatihah dan berakhir dengan Surah al-Nas. Susunan al-Quran terdiri daripada cantuman 28 huruf Hijaiyah yang mana keseluruhan al-Quran mengandungi 323,671 huruf, 77,437 kalimah, 6236 ayat, 114 surah, 30 juzuk, 60 hizib dan 240 maqra’.


Intisari ayat

Ayat 1-5 Surah al-Baqarah menyatakan tentang AL-QURAN. 

1. Kitab al-Quran yang mesti dipercayai dan diyakini tanpa syak dan ragu-ragu.

2. Kitab al-Quran menjadi panduan dan petunjuk kepada orang-orang yang bertakwa.


Ciri-ciri atau sifat-sifat mukmin bertakwa;

1. Beriman kepada perkara ghaib. Iaitu beberapa perkara dalam rukun iman (Allah, Malaikat, Hari Kiamat, Qada dan Qadar)

2. Mendirikan solat. Iaitu solat fardu lima waktu.

3. Menginfakkan harta. Iaitu zakat.

4. Beriman kepada kitab-kitab. Iaitu kitab-kitab samawi Zabur, Taurat, Injil dan al-Quran.

5. Beriman kepada hari akhirat. Iaitu hari kiamat.

Friday, March 15, 2024

Ahl al-Halli wa al-Aqdi

Siapakah Ahl al-Halli wa al-Aqdi? 

وأهل الحل والعقد: هم أهل الشأن من الأمراء والعلماء والقادة والساسة ووجوه الناس.

Ahl al-Halli wa al-Aqdi ialah ahli yang terlibat dengan pengurusan daripada kalangan pemimpin, ulama, ketua, ahli politik dan orang berpengaruh dalam dalam kelompok manusia.

Imam al-Mawardi meletakkan tiga syarat sebagai ciri-ciri yang mesti dipenuhi berupa kelayakan sebagai Ahl al-Halli wa al-Aqdi:

1. Bersikap adil beserta syarat-syaratnya.

2. Mempunyai ilmu pengetahuan yang membolehkan untuk memastikan pihak yang layak untuk memimpin beserta syarat-syarat yang muktabar yang perlu ada pada pemimpin tersebut.

3. Memiliki pendapat yang mantap serta kebijaksanaan yang membawa kepada kemampuan memilih pemimpin yang lebih baik untuk ummah berdasarkan syarat-syarat muktabar yang perlu ada pada pemimpin.

Dengan kata lain, mereka adalah golongan pemimpin dan ulama. Pemimpin yang ditaati dan ulama yang diikuti oleh masyarakat Islam dalam sesebuah negara. Apabila pemimpin menyokong sesuatu perkara maka rakyat akan turut menyokong begitu juga sebaliknya apabila pemimpin membantah lalu rakyat turut membantah.


Thursday, March 14, 2024

Islam dan sejarah pemilihan kepimpinan Khulafa al-Rashidin

Nabi Muhammad menjadi pemimpin pertama dan utama umat Islam. Oleh kerana majoriti penduduk Mekah di awal dakwah Islam tidak menerima Islam sebagai al-Din, maka Allah memerintahkan Nabi Muhammad berhijrah ke Madinah yang lebih terbuka dan menerima Islam sebagai al-Din. Bumi Madinah menjadi medan praktikal ajaran Islam yang sempurna sehingga tiba masa kewafatan Rasulullah.

Kewafatan Rasulullah menjadikan kepimpinan Islam berpindah kepada pengganti Baginda dengan istilah khalifah. Dalam hal kepimpinan, Islam mengajar umatnya supaya mengamalkan konsep 'syura' dalam setiap keputusan besar khususnya memilih pemimpin yang mengambil alih kesinambungan perjuangan Rasulullah.


Cara Pemilihan Khalifah Abu Bakar

-Rasulullah tidak menetapkan pengganti sehingga Baginda wafat.

-Kaum Ansar berkumpul di Saqifah Bani Sa'idah.

-Mencadangkan Saad bin Ubadah daripada suku Khazraj sebagai khalifah.

-Kaum Muhajirin dan Ansar masing-masing memberi ucapan sehingga menimbulkan suasana tegang.

-Setelah keadaan tenang, Abu Bakar memberi ucapannya dengan mencadangkan dua calon khalifah: 

1. Umar

2. Abu Ubaidah.

-Kaum Muhajirin dan Ansar membantah cadangan Abu Bakar.

-Umar lantas berbaiah kepada Abu Bakar lalu diikuti oleh kaum muslimin.

-Umat Islam memberikan persetujuan terhadap perlantikan Abu Bakar sebagai khalifah pertama. 


Cara Pemilihan Khalifah Umar

-Abu Bakar hanya mencadangkan seorang calon iaitu Umar sebagai khalifah selepas beliau melalui wasiat.

-Wasiat ini ditulis oleh Uthman.

-Abu Bakar meminta supaya diperdengarkan wasiat tersebut kepadanya terlebih dahulu untuk pengesahan.

-Kemudian wasiat tersebut diumumkan kepada orang ramai / kaum muslimin.

-Abu Bakar bertanya tentang persetujuan orang ramai terhadap cadangan wasiat tersebut.


Cara Pemilihan Khalifah Uthman

-Pada awalnya Umar tidak berhasrat mencalonkan pengganti beliau.

-Setelah didesak Umar mencadangkan enam calon iaitu: 

1. Uthman

2. Ali

3. Talhah

4. Al-Zubayr 

5. Saad bin Abi Waqqas

6. Abdul Rahman bin Auf

-Umar melantik anaknya sebagai saksi yang hanya layak memilih khalifah dan bukan dipilih sebagai khalifah.

-Abdul Rahman bin Auf telah menarik diri daripada pencalonan untuk menjadi pemegang amanah untuk proses pemilihan khalifah. 

-Beliau bertanya pendapat para sahabat dan orang ramai terhadap pilihan calon masing-masing. 

-Beliau turut bertanya pendapat Uthman dan Ali.

-Hasil jawapan soal selidik dan temuduga beliau mengisytiharkan Uthman sebagai khalifah.

-Seterusnya proses baiah berlaku oleh kaum muslimin.


Cara Pemilihan Khalifah Ali

-Politik negara dalam keadaan kurang stabil.

-Pemberontak menuntut supaya Ali mengambil tugas kepimpinan negara untuk menggantikan Uthman.


Kesimpulan

Terdapat dua cara perlantikan khalifah:

1. Wasiat khalifah sebelumnya seterusnya dipilih melalui majlis syura.

2. Majlis syura


Monday, March 11, 2024

Keistimewaan Bulan Ramadhan

Bulan Ramadhan adalah bulan penurunan al-Quran yang menjadi panduan hidup seluruh manusia. Firman Allah SWT: (Masa yang diwajibkan kamu berpuasa itu ialah) bulan Ramadan yang padanya diturunkan Al-Quran, menjadi petunjuk bagi sekalian manusia, dan menjadi keterangan-keterangan yang menjelaskan petunjuk dan (menjelaskan) perbezaan antara yang benar dengan yang salah. 

Keistimewaan bulan Ramadhan antaranya Allah membuka pintu-pintu syurga, menutup pintu-pintu neraka dan membelenggu syaitan-syaitan sebagaimana dinukilkan dalam hadis.

 إذا جاءَ رَمَضانُ فُتِّحَتْ أبْوابُ الجَنَّةِ، وغُلِّقَتْ أبْوابُ النَّارِ، وصُفِّدَتِ الشَّياطِينُ.
الراوي : أبو هريرة | المحدث : مسلم | المصدر : صحيح مسلم
الصفحة أو الرقم : 1079 | خلاصة حكم المحدث : [صحيح] 

Pintu syurga dibuka manakala pintu neraka ditutup tidak dapat dilihat secara fizikal. Akan tetapi, syaitan dibelenggu boleh dilihat kesannya terhadap perubahan mendadak apabila masuknya 1 Ramadhan, maka masjid dan surau dipenuhi oleh umat Islam secara tiba-tiba. Kenapa hari-hari sebelum 1 Ramadhan tidak berlaku situasi ini? 

Dalam bulan Ramadhan, umat Islam berhadapan dengan nafsunya sendiri ketikamana syaitan telah dirantai. Bulan Ramadhan adalah waktu sesuai untuk bersungguh-sungguh meningkatkan ibadah dengan keistimewaan kurniaan ganjaran berlipat kali ganda berbanding dalam bulan-bulan yang lain.


Wednesday, March 6, 2024

Istilah Kafir

Dewasa ini istilah kafir menjadi sensitif oleh sesetengah orang bukan Islam. Kenapa perkara ini terjadi? 

Orang kafir lebih selesa dipanggil bukan Islam atau non Muslim. Islam berlawanan dengan kufur. Muslim berlawanan dengan kafir. Orang Islam mempercayai dan meyakini rukun Islam dan rukun iman. Manakala orang kafir tidak mempercayai dan meyakini rukun-rukun tersebut. Jadi, mana-mana individu yang tidak percaya dan yakin terhadap rukun Islam dan rukun iman dikenali sebagai kafir.

Umat Islam hendaklah membezakan antara perbahasan akidah dengan interaksi secara komunikasi seharian terhadap orang kafir. Ketika membicarakan tentang prinsip akidah Islam, istilah Islam mewakili akidah seorang Muslim manakala kufur mewakili akidah orang kafir sebagaimana digunakan dalam al-Quran oleh Allah terhadap manusia. Siapakah kita untuk mempertikaikan istilah kafir dalam al-Quran dan hadis.

Daripada sudut lain, ketika berinteraksi dengan orang kafir yang tidak memusuhi Islam, maka penggunaan bukan Islam, non Muslim dan sebagainya bukanlah menjadi kesalahan dan boleh digunakan.



Tuesday, March 5, 2024

Kenapa memilih Islam?

Agama Islam menyatakan bahawa Allah yang Esa adalah Tuhan sekalian alam. Semua selain Allah adalah makhluk ciptaan yang tidak layak dijadikan tuhan yang disembah kerana makhluk mempunyai permulaan yang didahului dengan TIADA.

Islam adalah agama sempurna dan terkini yang diturunkan kepada Nabi Muhammad sebagai nabi terakhir untuk umat akhir zaman.

Kitab suci al-Quran masih kekal dalam bahasa Arab sebagaimana ketika al-Quran diturunkan pada zaman Nabi Muhammad. Semua umat Islam wajib mempelajari kitab suci al-Quran dalam bahasa Arab tersebut. Ayat-ayat suci al-Quran terjaga melalui hafalan dalam dada umat Islam sejak zaman Rasulullah lagi sehingga kini dan selamanya serta tertulis di dalam mashaf dengan kandungan dan susunan ayat dan surah yang sama. Manakala kitab suci yang lain majoriti penganutnya hanya mampu membaca terjemahan sahaja dalam bahasa masing-masing.


Monday, March 4, 2024

Tujuan hidup manusia

Manusia bermusafir di antara dua alam ghaib. Dahulunya manusia berada di alam ruh kemudian berpindah kepada kehidupan dunia dan selepas beberapa waktu akan berpindah ke alam barzakh iaitu alam ghaib sekali lagi. Semua manusia mesti melalui peringkat-peringkat ini tanpa pengecualian.


Alam ghaib 

(Manusia belum wujud / TIADA)

|

Alam semesta

(Manusia wujud / ADA)

|

Alam ghaib
(Manusia mati / TIADA)


Sekarang, manusia menjalani kehidupan di muka bumi mengikut giliran semenjak sejarah kewujudan manusia di muka bumi mengikut generasi yang silih berganti. Generasi lampau telah lenyap daripada muka bumi ini. Kini tiba giliran kita semua dan seterusnya bumi ini akan didiami oleh generasi mendatang.


Persoalannya siapakah yang telah menciptakan alam semesta termasuk manusia? Kenapa manusia diciptakan untuk mendiami bumi dalam tempoh tertentu? Apakah tujuan manusia diciptakan? Kenapa manusia mesti mati dan terpaksa keluar daripada kehidupan dunia ini? Kemanakah manusia pergi setelah keluar daripada kehidupan dunia ini? Kenapa manusia mati? Banyak lagi persoalan yang memerlukan jawapan yang benar. Jika manusia sudah mendapat jawapan terhadap persoalan tersebut, apakah bukti yang menunjukkan jawapan-jawapan tersebut adalah benar dan boleh diyakini?

Adakah Allah wujud? Buktikan.

Adakah Islam agama Allah? Buktikan.

Allah menurunkan wahyu al-Quran. Apakah bukti al-Quran daripada Allah? 

Adakah al-Quran hari ini adalah sama dengan al-Quran yang diturunkan pada zaman Rasulullah tanpa perubahan? Buktikan.

Rasul adalah utusan Allah dalam kalangan manusia. Apakah bukti Rasul benar-benar utusan Allah?


Saturday, March 2, 2024

Fikir dan kaji Islam selagi ada peluang hidup

Allah hanya memberikan satu peluang untuk setiap manusia berfikir dan memilih agama sama ada Islam, Kristian atau apa-apa anutan lain selagi mana nyawa dikandung badan.

Penganut agama Islam mempunyai hujah dan bukti kebenaran agama Islam manakala penganut agama lain juga mempunyai pendirian melalui hujah terhadap pilihan agama masing-masing. Kitab al-Quran menegaskan tiada paksaan dalam agama. Bagi kamu agama kamu dan bagi kami agama kami. Pilihan agama adalah hak asasi masing-masing. Tiada masalah. 

Tetapi, jangan berhenti berfikir dan mengkaji agama anutan. Sepatutnya manusia yang menolak Islam perlu bimbang tentang satu perkara. Sekiranya hanya selepas kematian terbukti ajaran Islam benar, maka tiada lagi peluang kedua untuk mengubahnya. Hakikat yang terpaksa diterima ialah diazab dalam neraka selamanya. Alangkah ruginya nasib kerana mensia-siakan peluang mengenali Islam dalam kehidupan dunia yang sementara. Pilihan di dunia adalah penentu nasib di akhirat sama ada mendapat nikmat syurga atau azab neraka yang kekal abadi. Pilihan kita adalah nasib kita. Fikirkan sebelum terlambat.


Friday, March 1, 2024

Takdir dalam Qada' dan Qadar

Allah mencipta alam semesta merangkumi semua makhluk tanpa pengecualian berserta takdirnya yang telah ditentukan. Tetapi takdir Allah tidak diketahui oleh makhluk. Hakikatnya tiada makhluk yang mampu lari daripada takdir Allah.

Manusia tidak mampu memilih ibu bapa, jantina, bangsa, zaman, umur dan pelbagai lagi menunjukkan ada kuasa yang menentukan perkara tersebut sejak awal.

Tetapi dalam urusan kehidupan, manusia telah dikurniakan akal serta pancaindera untuk membuat pilihan dalam sesuatu perkara. Sama ada memilih A atau B atau pilihan lain, manusia tetap tidak lari daripada takdir Allah. Manusia hanya mengetahui takdirnya apabila takdir tersebut telah berlaku. Sebagai contoh, sekiranya ditmpa sakit, sama ada pilihan seseorang untuk berubat atau tidak berubat kedua-duanya adalah takdir Allah. Jika memilih berubat, itu adalah takdir Allah. Manakala jika memilih untuk membiarkan tanpa usaha untuk berubat, ini juga adalah takdir Allah. Setiap pilihan yang dibuat adalah takdir Allah yang tidak mampu dielakkan oleh manusia.

Sebagai manusia yang lemah, berdoalah dan pilihlah takdir Allah yang lebih baik. Selebihnya serahkanlah kepada Allah yang Maha Mengetahui.


قَنْطوراءُ

قَنْطوراءُ: جاءَ في الحَديثِ:  ((فإذا كانَ في آخِرِ الزَّمانِ جاءَ بَنو قَنْطوراءَ عِراضَ الوُجوهِ، صِغارَ الأعْيُنِ، حتَّى يَنزِلوا على شَط...